JOHOR BAHRU, 18 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini mengadakan Perhimpunan Naib Canselor Ke-4 bagi tahun 2025 dengan fokus utama kepada inisiatif “Optimasi untuk Keutuhan Institusi.” Perhimpunan ini dipimpin oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang menyeru seluruh warga kampus untuk bersaing dengan prestasi hari semalam.

Strategi dan Matlamat Optimasi
Dalam perhimpunan tersebut, Prof. Dr. Mohd Shafry, membentangkan strategi 70-20-10 sebagai kerangka tindakan utama. Strategi ini menggariskan peruntukan 70% fokus kepada optimasi sistem dan proses sedia ada, 20% kepada inovasi, dan 10% untuk transformasi baharu.

Beliau turut menekankan empat matlamat utama yang perlu dicapai melalui optimasi, iaitu pengurangan kos, peningkatan kualiti, efisiensi, dan pengurusan sumber yang lebih efektif. Selain itu, lima budaya optimasi turut diperkenalkan untuk diterapkan dalam kalangan warga kerja, termasuk:
- Kesedaran dan Etika: Memastikan kesediaan untuk berubah dan mengguna pakai kaedah baharu yang terbaik.
- Teladan Kepimpinan: Menggalakkan budaya penambahbaikan berterusan.
- Sistem dan Proses: Mengoptimumkan sistem dan proses kerja sedia ada.
- Penggalakan Idea dan Pengaktifan: Mewujudkan ruang untuk idea-idea baharu.
- Pengukuran dan Refleksi: Sentiasa mengukur pencapaian dan membuat refleksi.
Pengumuman dan Inisiatif Penting
Beberapa pengumuman dan inisiatif penting turut dikongsikan bagi melancarkan proses transformasi institusi. Antaranya termasuk penubuhan Jawatankuasa Transformasi Digital UTM yang diaktifkan sejak 1 Julai 2025. Jawatankuasa ini dipertanggungjawabkan untuk merancang dan mencadangkan inisiatif transformasi digital bagi seluruh sistem sedia ada di UTM.
Selain itu, satu Aturan Kerja Fleksibel (AKF) akan dilaksanakan secara percubaan bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2025, sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan kecekapan dan kesejahteraan warga kerja. Perhatian khusus juga diberikan kepada pemerkasaan Piagam Pelanggan bagi meningkatkan kepuasan pelanggan, selaras dengan penekanan terhadap penambahbaikan perkhidmatan.
Menghargai Individu dan Semangat Kerja Berpasukan
Sebagai penutup, Prof. Dr. Mohd Shafry menegaskan bahawa setiap individu dalam organisasi amat penting untuk mencapai sejarah dan misi institusi. Beliau turut menyentuh tentang ulang tahun Kampus UTM ke-40 pada 16 September, yang menjadi pencetus semangat untuk terus melangkah maju. Turut dikongsikan adalah inspirasi daripada buku “One Mission” oleh Chris Fussell yang mengetengahkan kepentingan membina pasukan yang utuh dan komitmen setiap anggota.
Perhimpunan diakhiri dengan lafaz azam untuk menerapkan semangat ketekunan atau Itqan, selari dengan visi UTM untuk memperkukuh keutuhan institusi melalui optimasi yang berterusan. -AA-